fbpx

Wahai Hati Belajarlah Bersyukur

Dikisahkan pada zaman dahulu, terdapat 3 orang yang cacat fizikalnya. Seorang ialah Si Kusta, Seorang lagi Si Botak dan Seorang lagi ialah Si Buta.

Allah s.w.t hendak menguji mereka dengan melihat seberapa jauh KESABARAN dan KESYUKURAN mereka. Pada suatu hari, Allah memerintahkan seorang malaikat untuk menemui mereka seorang demi seorang. Malaikat ini datang dengan menyamar sebagai seorang manusia.

Kisah Si KUSTA :

Malaikat ini mengunjungi si kusta ini dengan menyamar sebagai orang yang sangat tua. Malaikat ini pun menghampiri si kusta yang duduk termenung akan nasibnya yang buruk.

” Apa yang kau inginkan, seandainya Allah SWT hendak memberi mu sesuatu? tanya malaikat yang menyamar itu.

“Saya selalu sakit hati ketika melihat orang ramai yang menatap saya dengan jijik. Oleh kerana itu saya ingin sembuh dan memiliki kulit yang cantik.”

Kemudian harta apa yang kau inginkan?

” Kalau harta, saya mahu unta.”

“Semoga Allah SWT memberkatimu.” Malaikat itu berkata dan mengusap tubuh orang yang berpenyakit kusta itu.

Dengan izin Allah SWT. Beberapa waktu kemudian si kusta itu sembuh dan dia memiliki unta dan kemudian unta itu beranak-pinak dalam waktu tidak lama hingga menyebabkan si kusta ini menjadi penternak unta yang kaya.

Kisah Si BOTAK :

Seterusnya, Malaikat ini mengunjungi orang botak yang sedang memandang kepalanya yang gondol dan sangat sedih melihat kepalanya kerana tidak ada rambut sehelai pun padahal usianya tidak lagi tua sangat.

Malaikat ini berkata padanya,

” Apa yang kau inginkan, seandainya Allah SWT hendak memberi mu sesuatu? tanya malaikat yang menyamar itu.

“Saya selalu marah apabila orang ramai memanggil saya botak. Itulah sebabnya saya sangat menginginkan rambut yang tumbuh subur di kepala.”

Kemudian harta apa yang kau inginkan?

” saya mahu lembu sahaja.”

“Semoga Allah SWT memberkatimu.” Malaikat itu berkata sambil mengusap kepalanya.

Dengan izin Allah SWT. Beberapa waktu kemudian si botak mengalami ketumbuhan rambut yang subur dan kelihatan gagah dan tampan. Lembunya juga memenuhi tempat penggembalaannya. Jadilah dia seorang yang penternak lembu yang kaya dan berjaya.

Kisah Si BUTA :

Terakhir, malaikat menemui seorang yang buta. Si buta agak terkejut mendengar seseorang datang dengan tiba-tiba. Hampir sahaja dia terlanggar pohon yang ada di depannya.

” Apa yang kau inginkan, seandainya Allah SWT hendak memberi mu sesuatu? tanya malaikat yang menyamar itu.

“Saya tidak dapat melihat, kedua mata saya buta sejak saya lahir. Saya sering terlanggar sesuatu, tersadung atau terjatuh ke dalam lubang. Alangkah bagusnya jika saya dapat melihat keindahan dunia ini.”

Kemudian harta apa yang kau inginkan?

” Kambing sahaja.”

“Mudah-mudahan Allah SWT memberkatimu.” Malaikat itu berkata sambil mengusap matanya.

Dengan izin Allah SWT. Beberapa waktu kemudian si buta dapat melihat. Si buta sangat gembira kerana dapat melihat taman, kebun, gunung dan pemandangan yang baru ini. “Subhanallah.” ujarnya. Dia juga menjadi kaya dengan perniagaan kambingnya.

BEBERAPA BULAN KEMUDIAN.

Allah SWT menyampaikan perintah kepada malaikat untuk kembali mengunjungi mereka. Kali ini malaikat menyamar sebagai seorang tua yang meminta sedekah.

Kisah Si KUSTA :

Malaikat ini menemui si kusta dulu itu sambil berkata kepadanya : “Tuan, seharian saya belum makan. Saya sangat lapar. Sudikah tuan memberi saya sesuap nasi atau sedikit wang.” ujar malaikat yang menyamar dengan meminta belas.

“Senangnya…kalau nak makan, kenalah berkerja. Jangan mengemis!.” Herdik si kusta itu dengan sombong.”

“hmm..rasanya saya mengenali mu..owh ya..dulu kamu menghidap penyakit kusta bukan? Hidupmu juga melarat dan orang berasa jijik melihat mu. Lalu, Allah SWT menyembuhkan dan memberimu kekayaan.”

“Siapa kata saya miskin? Lihat saya ni jutawan unta!! Kulit saya juga sihat. Lihatlah, tidak ada parut-parut bekas penyakit kusta sedikit pun!!!” Si kusta itu menafikannya.

Hanya beberapa hari selepas kejadian ini. Si kusta ini kembali mengalami penyakit lamanya dan segala kekayaan dihabiskan untuk menyembuhkan dirinya. Tetapi tidak dapat sembuh. Akhirnya dia kembali kepada keadaan asalnya dahulu.

Kisah Si BOTAK :

Ketika si botak sedang menikmati kekayaannya di dalam rumahnya sambil duduk bergoyang kakinya. Dia terkejut apabila melihat seorang pengemis yang memasuki rumahnya. Pengemis itu kata.

“Tuan tolonglah saya. Saya kehabisan bekal dan perlukan sedikit wang belanja untuk pulang. Saya juga belum makan beberapa hari. Saya lapar tuan.” Malaikat yang menyamar meminta belas.

Kata si botak itu : “Hah!! minta??!! Pengawal. usir pengemis kotor ini!!.” Bentak orang botak itu dengan kasar.

Malaikat berkata : “Maaf tuan, saya rasa kita pernah bertemu dahulu. Dulu kepala tuan botak dan miskin bukan?”

“Bertemu?? Tidak mungkin. Jangan mengarut. Mana ada orang tampan seperti saya botak. Merepek!! saya adalah orang kaya.”

“Ingat tuan, jika tuan berbohong. Allah SWT akan menjadikan tuan miskin dan botak kembali.”

Bermula sejak selepas hari kejadian ini. Si botak ini kembali mengalami keguguran rambutnya sehelai demi sehelai sehingga kepalanya menjadi botak. Semua lembu-lembunya mati hingga tidak ada seekor lembu pun yang tersisa. Si botak ini kembali miskin.

 

Kisah Si BUTA :

Terakhir, Malaikat datangi si buta ini sebagai pengemis juga.  Berbeza dengan dua orang yang lain. Si buta ini melayani pengemis ini dengan menghidangkan jamuan buatnya sama seperti tetamu yang lain. Saat diminta sedekah. Orang buta ini tidak menolaknya. Dia berkata :

” Semua ini amanah Allah SWT . Saya hanya menerimanya sebagai amanah. Jika anda memerlukannya, ambilah. Kalau perlu. Ambillah semuanya.”

Mendengar ketulusan orang buta ini. Akhirnya malaikat berterus terang kepadanya bahawa dirinya adalah Malaikat yang di utus oleh Allah. Selain itu, malaikat juga memberitahu dialah juga yang dahulu datang sebagai seorang tua yang mengusap matanya. Kedatanganya kali ini untuk menguji siapa di antara mereka bertiga yang bersyukur kepada Allah SWT.

Malaikat berkata kepadanya :

” Engkau  sangat bersyukur……. dan tulus….. Peliharalah harta kekayaanmu. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberkati mu…..”

 

Saudara-saudari sekalian. Begitulah kisah yang berlaku kepada ketiga orang ini. Si Kusta tidak bersyukur. Maka dia hancur. Si Botak kufur. Maka dia hancur juga. Namun Si Buta sangat bersyukur. Maka Allah berkatinya. Sungguh mulia hati si buta ini. Kisah ini sangat menyentuh hati saya. Benar-benar mulia si buta ini. Sama ada kisah ini benar atau tidak. Namun ianya cukup untuk dijadikan tauladan dalam hidup kita.

Daripada kisah ini. Saya lihat walaupun dahulu si buta ini buta matanya. Namun dia tidak Buta Hati. Dia melihat akan kekayaan yang diberi oleh Allah kepadanya adalah amanah. Sungguh celik hatinya wahai saudara saudariku……

Si buta ini juga kaya hati kerana tidak kedekut dengan harta yang ada padanya. Sangat bertepatan dengan sebuah hadis yang berbunyi : “Bukanlah yang kaya itu kerana kaya harta, tetapi kekayaan itu kerana Kaya Hati.”

Semoga kita semua dikayakan dengan nilai-nilai yang mulia di dalam hati kita. insyaALLAH.

Belajarlah untuk bersyukur pada setiap masa. Mudah-mudahan hati kita kembali dengan sejahtera kepada Allah SWT.

” Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu : Sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepadamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim : Ayat 7)

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.