fbpx

Nota Hati : Doa Sahabat Yang MULIA (^_^)

Salam rahmat buat sahabat-sahabat semua. Harap baik-baik hari ini. Perkongsian saya kali ini berkenaan Doa sahabat yang mulia.

Kisahnya begini.

Di suatu kampung, terdapat seorang pemuda yang taat mengerjakan ibadah dan kuat bekerja. Namanya Iman. Iman selalu menjadi jemaah yang akhir yang akan keluar dari masjid. Beliau juga sentiasa menjadi perhatian Imam masjid tersebut yang juga merupakan sahabat kepada Iman, bernama Soleh.

Apa yang menarik tentang pemuda ini ialah, doanya selalu dimakbulkan. Oleh kerana doanya sentiasa dimakbulkan. Seluruh orang kampungnya akan mencari beliau untuk mendoakan keperluan mereka.

Ada seorang makcik yang menemui Iman, memintanya mendoakan anak makcik supaya rajin belajar. Dia sentiasa malas untuk ke sekolah dan belajar. Selepas Iman berdoa. Selang beberapa minggu, Iman mendapat berita bahawa anak makcik tersebut sudah rajin ke sekolah dan menjadi pelajar yang memberi tumpuan di dalam kelas.

Pernah juga seorang pakcik tua temui Iman memintanya mendoakan pakcik tersebut supaya dipermudahkan jodoh anaknya. Selepas Iman mendoakan hajat pak cik tersebut. Selang beberapa minggu, Iman mendapat pinangan jodoh dari keluarga yang berada. Oleh kerana Iman merupakan anak yang taat kepada ibunya. Iman terima sahaja pinangan jodoh tersebut tanpa melihat calon isterinya.

Selepas bernikah. Iman sangat terkejut apabila mendapati isterinya adalah anak pakcik yang dia doakan dahulu. Iman terasa sangat syukur dan berterima kasih kepada pakcik tersebut kerana menjadikan Iman sebagai menantunya.

Namun, tiba suatu hari doa Iman tidak diperkenankan. Doanya untuk menyembuhkan sakit ibunya tidak termakbul. Ibu iman hanya jatuh sakit kerana demam. Entah bagaimana, selepas beberapa hari ibunya meninggal dunia. Oleh kerana, hati Iman sangat sedih dan pilu, Iman membawa dirinya ke Masjid untuk menenangkan hatinya.

Setibanya di masjid, Iman berdoa kepada Allah sambil berkata “Ya Allah, mengapa engkau tidak memperkenankan doa aku. Tidakkah engkau sayang aku lagi. Bukankah aku sentiasa melakukan ketaatan kepada engkau.”

Selepas berkongsi isi hatinya dengan berdoa di masjid. Iman melihat wajah imam masjid. Selepas mengamati betul-betul, dia mendapati itu bukan imam sebelum ini yang mana merupakan sahabatnya.

Maka, Iman menemui imam tersebut dan bertanya “Wahai imam, dimanakan imam yang lama? Di manakah ustaz soleh?”

Imam itu berkata “Imam Soleh sudah meninggal dunia. Sebelum dia meninggal dia pesan pasti akan ada seorang pemuda yang akan mencari beliau dan merindui beliau. Iaitu sahabatnya yang bernama Iman. Awak ke Iman ? ”

Iman menjawab “ya!!”

Imam baru itu menyambung lagi “Beliau berkata pada saya, bahawa dia sentiasa melihat Iman menjadi jemaah yang akhir keluar dari masjid. Setiap kali dia melihat. Dia akan berdoa :

“Ya Allah…tuhan yang maha pengasih…engkau perkenankanlah doa sahabatku ini…. permudahkanlah urusan dunia dan akhiratnya…”

Berlinangan air mata yang keluar dari mata Iman. Mungkin sekarang baru dia faham. Mengapa doanya sudah tidak termakbul lagi. Maka benarlah kata Nabi kita :

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Apabila seseorang itu mendoakan untuk saudaranya di kala ia tidak ada, maka berkatalah malaikat: “ Kamu juga menerima sebagaimana doamu itu “. ( Riwayat Muslim )

Dalam riwayat yang lain :

Abu Darda’ sahabat Rasulullah SAW pernah berkata : “ Sesungguhnya aku mendoakan untuk tujuh puluh orang dari saudara-saudaraku dalam sujudku, dan semuanya ku sebut namanya satu persatu. “ 

 Sungguh mulia sahabat Iman yang bernama Soleh. Semoga kita diberi kekuatan untuk menjadi SAHABAT YANG MULIA….

 

Nota Tindakan : Senaraikan 5 orang yang rapat dengan kita. Sebutkan nama mereka di dalam doa kita. Ketika berdoa. Bayangkan juga wajah mereka. Semoga doa malaikat mengiringi perjalanan mu wahai sahabat-sahabat sekalian. amin….

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.