Ramadhan semakin menghampiri kita. Bulan yang mulia sedang merangkak selangkah demi selangkah mendekati diri kita. Namun apalah ertinya jika cinta dan sayang kita kepada baginda masih belum berputik umpama bunga yang mekar di pagi hari.
Saudara sekalian, dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-NYA berselawat bagi nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah baginya dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)
Allah mengingatkan kita untuk berselawat ke atas baginda Rasullullah s.a.w. Saudara sekalian, Ada satu kisah yang saya gembira untuk kongsikan. Malaikat Jibril pernah bertanya kepada Allah tentang makhluk yang bernama Muhammad. Allah menjawab, “Demi seluruh kemegahan Ku dan kemuliaan Ku, wahai Jibril, baginda adalah manusia pilihan Ku daripada seluruh makhluk Ku.”
Jibril lalu berkata, “Jadikanlah aku sebagai pembantu baginya, ya Rabb.”
Marilah wahai saudara saudari sekalian kita lihat Kasih dan Sayang Baginda s.a.w kepada kita melalui kisah ini.
Pada suatu hari , ketika duduk bersama para sahabat, tiba-tiba Rasullullah s.a.w berkata sambil memegang janggutnya, “Alangkah rindunya aku mahu berjumpa dengan saudara-saudaraku.”
Para sahabat bertanya, “Bukankah kami ini saudara-saudaramu ya Rasullullah?
“Kalian sahabat-sahabatku dan aku mencintai kalian. Tetapi aku merinduikan saudara-saudaraku.”
“Siapa mereka ya Rasullullah?”
Air mata Rasullullah menitis membasahi janggutnya dan baginda berkata, “ Saudara-saudaraku adalah orang-orang yang tidak hidup sezaman denganku, mereka tidak pernah berjumpa denganku, tapi mereka mencintaiku, membenarkan kata-kataku dan beriman kepadaku. Aku rindu kepada mereka, aku mencintai mereka.”
Para sahabat menundukkan wajahnya lalu ikut menangis.
Ya Rasullullah
Engkau ingin berjumpa dengan mereka,
Kamikah itu ya Rasullullah?
Engkau rindukan mereka,
Kamikah itu ya Rasullullah?
Engkau dambakan mereka,
Kamikah itu ya Rasullullah?
Duhai Rasullullah…..
Engkau ingin bertemu dengan mereka yang tidak pernah engkau jumpai
Kamikah itu ya Rasullullah?
Mereka yang bibirnya selalu bergetar mengucapkan selawat bagimu
Kamikah ya Rasullullah?
Engkau ingin datang memeluk mereka
Bagi memuaskan kerinduanmu
Kamikah yang engkau rindukan itu ya Rasullullah?
Engkau akan datang kepada mereka yang mengunjungimu dengan selawat
Dengarlah selawat kami bagimu ya Rasullullah
Allahumma solli a’la Muhammad wa a’la ali Muhammad
Maka hadirlah engkau dalam jiwa kami
Dalam mimpi-mimpi kami
Masih kami ingat sabdamu,
“Barang siapa datang kepadaku, aku akan memberinya syafaat di hari kiamat.”
Maka, wahai kekasih yang mulia. Syafaatilah kami ya Rasullullah.
Moga-moga hati kami terisi dengan kepenuhan cinta kepadamu ya Rasullullah.
Saudara saudari sekalian…..moga-moga bibir kita sentiasa rajin melafazkan kalimah selawat ke atas baginda Rasullullah s.a.w. (^_^)
0 Comments